apa yang saya lihat tak semestinya betul.. apa yang saya dengar tak semestinya tepat.. apa yang saya tulis tak semestinya benar..
habis tu..! kalau tahu saya salah kenapa tak nak tegur?

YouTube : [search] juzailialias

juzailialias@yahoo.com.my


16 Mei 2009



GURU OH GURU
-Nukilan SN Dato Usman Awang-


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;


Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;


Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat


********************

Di antara profesion yang mulia di sisi Allah dan juga masyarakat ialah guru. Kerana guru mewarisi tugas para nabi dan rasul untuk mendidik masyarakat. Guru mengajar masyarakat menjadi pandai dan berilmu, disamping itu mendidik anak-anak didik menjadi insan yang baik dan mampu berjasa kepada keluarga dan masyarakatnya.


Dengan demikian, kita haruslah berterima kasih kepada mereka, kerena jasa merekalah, maka kita hari ini pandai menulis, membaca dan mengira.


Nabi dan rasul diutuskan oleh Allah sebagai guru untuk mengajar manusia dengan ilmu yang benar, iaitu ilmu yang Allah wahyukan kepada mereka. Mereka mengajar ilmu tentang ketuhanan, tentang perkara yang baik dan buruk, mereka mengajak manusia melakukan perkara yang baik dan meninggalkan yang buruk. Mereka mengajar manusia supaya ingat bahawa hidup di dunia ini hanya sementara sahaja. Semua akan mati dan kemudian akan dihidupkan semula untuk diberi balasan terhadap perbuatan mereka semasa hidup di dunia.


Guru-guru pun demikian juga. Mereka mengajar manusia supaya pandai membaca dan menulis. Mengenal Tuhan, faham maksud adanya semua benda yang dapat dilihat, faham tingkah laku yang baik dan yang buruk. Mengajar manusia supaya mereka dapat menjalani hidup dengan kerjaya masing-masing dan mendapat keredaan Allah s.w.t. Mengajar manusia supaya menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Melihat kepada aspek-aspek inilah dikatakan guru mewarisi tugas para nabi.


Kini tugas guru semakin mencabar.. tetapi ada juga yang masih mengatakan ianya kerja mudah, boleh rehat bila tidak mengajar..


Ya,
memang kerja guru senang. Perlu bersengkang mata memikirkan perihal anak muridnya sahaja, perlu menanda buku, mengikuti kursus, belum dicampur dengan karenah pentadbiran, kelas tambahannya, program sampingan. Yang sudah berkahwin perlu memikirkan keluarga mereka sendiri. Mudahnya kerja guru?..


Dari A hingga ke Z guru mengajar, dari berdiri tegak sehingga memberi salam diasuh agar muridnya menjadi orang yang tahu Islam. Ada guru yang menyerahkan jiwa raganya di dalam profesion ini, member motivasi dan semangat agar anak didiknya terus berjaya. Yang malas, yang suka bermain di dalam kelas, yang hanya tahu tidur, masih tergagap untuk membaca, tidak kenal huruf dan merangkak menyebut perkataan – disuakan dengan teknik belajar.


Tidak lupa sang guru untuk mengingatkan anak didiknya itu silalah ulangkaji, tunjukkan pada ibu dan ayah mana yang perlu dibuat dan disemak semula. Tetapi yang lebih difahami - anaknya mesti mendapat semua A apabila mendapat keputusan peperiksaan.


“Anak aku pintar, bijak” Dan semuanya diakhiri dengan perkataan ‘AKU’ juga.


Sang guru member nasihat

“Awak dah belajar solatkan.. kat rumah solat dengan mak ayah ye..”, lalu dia membalas “mak ayah saya tidak solat cikgu.. nak buat camane?”. Dan sang guru tergumam.


Sebagai
seorang guru di dalam kelas, ia tidak senang melepaskan anaknya balik ke rumah tanpa membawa apa-apa yang bermakna didalam kehidupan.


Lalu diberi peringatan – bahawa hormati ibu dan bapa, cium tangan mereka, minta maaf kepadanya. Jangan segan untuk meringankan tulang.

Berilah khabar gembira apabila sudah berjaya…


Begitulah…
sang guru tetap juga meneruskan pengajaran dan didikannya dengan sabar, walaupun saban waktu hatinya menahan kerana herdikan, cacian dan cemuhan. Dan itulah dosa-dosa guru kerana mendidik anak muridnya..