dalam kesibukan menjalankan tugas harian sempat lagi aku search bab yang berkaitan dengan khutbah yang didengar dan membaca artikel2 yang berkaitan.. nie aku nak kongsi artikel2 yang agak menarik yang aku jumpa…. silakan..
MUSIBAH ITU ADA TUJUANNYA
Seorang lelaki yang baik, menjaga iman dan beramal soleh, difitnah berzina?
Seorang anak yang datang dari sebuah keluarga bahagia, berdepan dengan keluarga mertua yang mengundang sengsara?
Mengapa semua ini berlaku?
Kamu pernah mendakwa bahawa kamu mentaati suami dan menjaga kebajikannya adalah KERANA DIA.
Kamu pernah mendakwa bahawa kamu memelihara isteri dan anak-anak adalah KERANA DIA.
Kamu pernah mendakwa bahawa kamu menjadi anak yang baik adalah KERANA DIA.
Kamu pernah mendakwa bahawa kamu menjadi ibu dan bapa yang melaksanakan segala tugasan dengan sempurna adalah KERANA DIA.
Ketika kamu mentaati suamimu, menjaga segala keperluannya, kamu terlupa kepada Allah dan meletakkan jangkaan bahawa mencintai sama dengan memiliki, dicintai sama dengan dimiliki.
Tatkala kamu menjaga isteri dan anak-anakmu, kamu lupa kepada Allah hingga kamu sangka itu semua jasa, dan jasa mesti dibalas budi.
Ketika kamu menjadi anak soleh, kamu lupa kepada Dia dan kamu sangka kebaikanmu itu suatu jaminan. Mustahil anak yang baik dikeji manusia ibu dan manusia bapa, biar pun mereka hanya mertua.
Semasa kamu mendidik anak-anak dengan sebaik-baik didikan, kamu lupa kepada Allah lalu mengharap kebaikanmu dikenang dan dibalas mereka, hingga terlupa niat kamu berkaitan Dia.
Justeru datanglah ujian yang tidak disangka-sangka, untuk menzahirkan keikhlasan itu.
Maka lelaki soleh yang difitnah zina, maka isteri solehah yang dikhianati suami, maka suami soleh yang dikufuri isteri, maka anak soleh yang disakiti ibu bapa, baik kandung atau mertua, maka ibu bapa solehin yang dikecewakan anak oleh perlakuan buruknya, ketahuilah bahawa ALLAH sedang berbicara kepada kamu.
HAMBA sentiasa sedar dirinya dimiliki dan tidak memiliki.
HAMBA sentiasa sedar dirinya sentiasa layak diuji.
HAMBA sentiasa sedar bahawa lahirnya hanya untuk DIA.
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan tentang diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka. [Al-Hasyr 59: 19]
Kita sentiasa layak diuji…
Kerana kita adalah HAMBA.
Justeru hancurkanlah RASA MEMILIKI!
Apabila seseorang itu tiba-tiba mendapat kesusahan, kegagalan dalam perkara tertentu atau ditimpa musibah berat dalam kehidupan, mereka menganggap Allah sudah tidak sayangkan mereka. Lebih jauh daripada itu, ada berani mengatakan Allah telah berlaku zalim kerana diberikan kesusahan.
Anggapan demikian tidak benar. Mereka tidak sepatutnya berprasangka tidak baik terhadap Allah. Sesungguhnya Allah tidak pernah sekali-kali menganiaya atau berlaku zalim kepada hamba-Nya.
Allah sentiasa bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.” (Surah Yunus, ayat 44)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seorang pun walaupun sebesar zarah.” (Surah An-Nisa’, ayat 40)
Musibah tidak datang begitu saja tanpa ujian. Allah menurunkan musibah (besar atau kecil) untuk menguji hamba-Nya sejauh mana mereka tabah, sabar dan reda.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami adanya orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita keadaan kamu.” (Surah Muhammad, ayat 31)
Sementara itu, Anas meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya Allah berfirman: “Jika Aku menguji hamba-Ku dengan dua benda yang paling dia sayangi, lalu dia bersabar menghadapinya, maka Aku akan menggantikan keduanya dengan syurga. Yang dimaksudkan dua benda itu adalah kedua matanya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Oleh itu, apabila berhadapan ujian, jangan buruk sangka sebaliknya hadapinya dengan reda serta keyakinan bahawa selepas kesusahan itu akan ada kemudahan menanti.