khutbah jumaat - istiqamah
dalam kesibukan menjalankan tugas harian sempat lagi aku search bab yang berkaitan dengan khutbah yang didengar dan membaca artikel2 yang berkaitan.. nie aku nak kongsi artikel2 yang agak menarik yang aku jumpa…. silakan..
ISTIQAMAH secara umumnya bermaksud menumpukan komitmen untuk melaksanakan sesuatu perkara dengan penuh konsisten dan kesungguhan. Istiqamah adalah sikap terpuji yang perlu diamalkan oleh setiap individu Muslim.
Sifat yang mulia ini adalah salah satu daripada sifat yang sangat dituntut oleh Islam. Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaan-Nya), serta pohonlah kepada-Nya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu) dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang yang menyengutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain).” (Surah Fussilat, ayat 6)
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Katakanlah, aku beriman dengan Allah kemudian teguhkan pendirian kamu.” (Hadis riwayat Muslim).
Istiqamah adalah daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam. Ia merangkumi amalan hati; lisan dan anggota tubuh badan. Jelasnya, segala amalan yang dapat dirumuskan dalam pengertian ibadah sama ada fardu ain atau kifayah memerlukan istiqamah.
Ada beberapa perkara yang boleh menjana sikap istiqamah dalam diri setiap individu Muslim antaranya :
ilmu dan maklumat yang mantap
Kekuatan ilmu adalah perkara utama dalam menjana istiqamah. Melalui ilmu akan menumbuhkan keyakinan dan keimanan yang kukuh. Oleh itu, ilmu pengetahuan adalah perkara yang mesti dipelajari terlebih dulu sebelum ibadah dapat dilakukan dengan sempurna.
Perkaitan di antara ibadah dan istiqamah dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan juga supaya orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepada-Nya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhi-Nya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang yang beriman ke jalan yang lurus.” (Surah al-Hajj, ayat 54).
Bersahabat dengan orang yang beristiqamah
Sahabat adalah cermin bagi seseorang seperti dinyatakan Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang bermaksud: “Orang mukmin laksana cermin bagi mukmin yang lain (untuk membetulkan diri).” (Hadis riwayat Abu Daud).
Orang yang berjiwa istiqamah akan sentiasa berbuat kebajikan, nasihat-menasihati dan tidak mudah berputus asa serta sabar dalam melaksanakan ibadah. Justeru, kita perlu berhati-hati memilih sahabat kerana implikasi bersahabat amat besar dalam mempengaruhi mentaliti dan moral kita.
Menghayati sirah orang yang beristiqamah
Sirah dan sejarah hidup orang yang beristiqamah wajar dikaji dan diamalkan dalam diri kita. Dengan cara ini, pengaruh positif mereka bakal meninggalkan kesan yang baik kepada seseorang untuk menimbulkan keazamannya dalam meneladani kehidupan mereka.
Sikap istiqamah mereka terpancar dari sudut keilmuan seperti kegigihan dalam menuntut serta menyampaikan ilmu dan menulis karya ilmiah yang agung. Selain itu, umat Islam perlu sentiasa menghayati ketahanan daya istiqamah pejuang terdahulu dalam jihad.
Mujahadah melawan hawa nafsu
Antara faktor yang dapat membantu kita untuk mencapai sikap istiqamah ialah mujahadah iaitu mengarahkan hati untuk berjuang melawan runtunan nafsu yang merangsang ke arah kejahatan. Di samping itu, keinginan nafsu serta kehendak duniawi wajar dibimbing sehingga ia menjurus ke arah kebaikan dan keikhlasan kerana Allah semata-mata.
Berdoa dan bertawakal kepada Allah.
Umat Islam perlu berdoa memohon pertolongan Allah dalam apa juga urusan hidup, sama ada pada saat senang mahupun pada waktu ditimpa kesusahan.
Dalam hal ini ulama hadis, al-Imam al-Syaukani menyatakan bahawa doa adalah darjat ibadah paling tinggi dan mulia. Justeru, umat Islam perlu menggunakan senjata rohaniah ini untuk memohon petunjuk Allah supaya segala tuntutan akan dapat direalisasikan secara istiqamah dan dengan penuh keikhlasan.
istiqamah menjadi faktor pencapaian matlamat dalam apa jua bidang sama ada bidang agama, siasah, ekonomi, pendidikan, penyelidikan, perusahaan dan perniagaan. Peribahasa melayu ada menyebutkan, "berpantang maut sebelum ajal."
Kejayaan melaksanakan tuntutan iman dan matlamat amal Soleh dapat dicanai dengan sikap istiqamah seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran. (Surah Fusilat-Ayat 30-32)
Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinan dengan berkata : "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah Malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah di janjikan kepada kamu."
"Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh pada hari akhirat apa yang kamu ingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh pada hari ituapa yang kamu cita-citakan mendapatnya." "(pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani !"
Membentuk Sikap Istiqamah
Sikap Istiqamah dapat di bentuk dengan menanamkan unsur-unsur yang berikut ke dalam diri:
1.Matlamat yang unggul iaitu berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.
2.Semangat dan daya juang yang tinggi serta tidak mudah mengalah atau berputus asa.
3.Prinsip yang benar berasaskan Al-Quran dan hadis Rasullallahi Sallallahu Alaihi Wassalam.
4.Ilmu dan maklumat yang cukup.
5.Strategi yang kemas dalam perjuangan.
6.Usaha yang berterusan.
7.Yakin kepada takdir dan janji Allah Taala.
8.Berdoa dan bertawakal.
9.Bersyukur dan redha.
Sikap ini dapat diteladani daripada Rasullallah Sallallahu Alaihi Wassalam, para sahabat, para mujahid, syuhada" dan salihin seperti yang tertera di dalam gambaran sejarah.