Khutbah jumaat kali ini berkaitan dengan lailatur qadar.. peristiwa yang berlaku hanya pada 1 malam di bulan ramadhan al-mubarak… marilah kita menghayati artikel berkaitan…
Surah Al-Qadr dan Malam Al-Qadr
Salah satu ayat dalam surah Al-Qadr menyentuh malam kemuliaan iaitu malam penurunan Al-Quran (Nuzul Al-Quran). Malam Al-Qadr merupakan malam penuh keberkatan (iaitu mendapat keampunan, rahmat dan keredhaan Allah s.w.t.) dan ditetapkan oleh Allah segala urusan berdasarkan kebijaksanaanNya. Kebiasaannya, jika Allah melakukan bentuk ”ayat tanya” dalam Al-Quran ia menggambarkan kemuliaan dan pengagungan akan sesuatu dan perkara ini adalah jelas dalam Surah Al-Qadr. Pengagungan di sini diharapkan agar manusia memperbanyakkan pengisian ibadah pada malam itu dan diisi dengan amalan-amalan soleh yang berbagai. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa pengagungan kepada malam ini menunjukkan bahawa Nabi sendiri tidak mengetahui ketepatan masa berlakunya. Maklumat tentang keistimewaan malam Al-Qadr hanya dapat diketahui melalui Al-Quran dan Al-Sunnah.
Istilah qadr mempunyai tiga maksud; iaitu pertama; menetapkan, kedua kemuliaan dan ketiga penyempitan. Dilihat pada makna pertama iaitu menetapkan, pada malam tersebutlah Allah telah menentukan perjalanan hidup manusia melalui seruan dakwah Nabi Muhammad s.a.w. ke arah jalan yang hak dan menolak kebatilan dan itulah aturan jalan ketetapan yang ditentukan Allah walaupun penuh ranjau duri. Kedua, malam tersebut adalah semulia malam jika diteliti berlakunya penurunan Al-Quran (nuzul Al-Quran) dan pengiktirafan Allah terhadap malam tersebut. Ketiga, berlakunya kesempitan di dunia kerana jumlah kehadiran para malaikat yang membawa rahmat dan keampunan Allah. Persiapan menghadapi malam Al-Qadr ialah selama 10 hari sebab ia berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan, bukannya sehari dua. Pastinya Allah akan menganugerahkan malam Al-Qadr pada mereka yang bersedia untuk 10 malam dan bukan hanya untuk semalam dua sahaja. Inilah falsafah Lailatul Qadr iaitu kita perlukan dalam kehidupan ketika persiapan yang teliti tanpa membenarkan ruangruang kerugian untuk mendapatkan kerahmatan dan keredhaan Allah s.w.t... Adapun ketentuan malam Al-Qadr itu pada malam-malam ganjil adalah untuk tidak terlalu memenatkan kita beribadah berterusan pada 10 malam terakhir kerana ada keselangselian. Allah pastinya menganugerahkannya pada orang yang ikhlas. Apakah Dasar Keimanan Tentang Lailatul Qadr? Di antara perkara yang perlu diimani dalam perkara berkaitan Lailatul Qadr ialah:
1. Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul Qadr.
2. Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan yang membawa maksud bahawa setiap amalan yang termakbul pada malam itu samalah dengan amalan yang setara dengannya sebanyak amalan seribu bulan.
3. Para Malaikat dan ruh diturunkan pada malam tersebut.
4. Sejahtera malam itu hingga terbit fajar (masuknya waktu Subuh).
5. Ibadah yang jujur, ikhlas, konsisten, iltizam dan khusyuk pada sebarang masa.
6. Tiada tanda-tanda fizikal yang dijelaskan oleh nas kecuali khabar-khabar angin semata.